Kerjaya kelab Dennis Praet

Remaja

Praet menyertai akademi Genk pada tahun 2003 semasa beliau berusia 8 tahun. Beliau menghabiskan kebanyakan masa karier remajanya di Genk, di mana beliau kekal di akademi itu sehingga tahun 2010.[4][5] Beliau merupakan sebahagian daripada generasi terbaik kelab dan pencari bakat menganggap Praet sebagai antara bakat muda yang hebat. Beliau juga merupakan pemain remaja antarabangsa Belgium sehingga menarik minat kelab Arsenal, Barcelona, Ajax dan Lille.[6][7]

Anderlecht

Pada Mei 2010, Praet telah melakukan perpindahan dari Genk ke Anderlecht selepas menolak beberapa tawaran lumayan. Di Anderlecht, beliau pada mulanya bersama dengan pasukan bawah-19. Pada tahun 2011, beliau meraih pencapaian pemain terbaik ketika kejohanan AEGON Future Cup yang berlangsung di Amsterdam, sebuah kejohanan belia yang disertai oleh pasukan-pasukan ternama seperti Ajax dan Bayern Munich.[8]

Praet melakukan penampilan sulungnya untuk skuad senior Anderlecht pada 21 September 2011 dalam aksi Piala Belgium menentang Lommel United dan beliau telah melakukan dua hantaran kepada jaringan pasukannya. Pada pusingan seterusnya, beliau menjaringkan gol pertamanya bersama Anderlecht semasa menentang Rupel Boom FC. Pada 30 Oktober, beliau melakukan kemunculan sulungnya dalam Liga Pro Belgium selepas menggantikan pemain Fernando Canesin ketika menentang Lierse SK. Pada Mac 2012, Praet telah menandatangani kontrak baru sehingga tahun 2015.[9]

Ketika musim 2012–13, Praet menjadi antara tonggak pasukan yang membantu Anderlecht merangkul kejuaraan liga kedua berturut-turut. Pada awal tahun 2014, beliau telah bersetuju untuk melanjutkan kontraknya sehingga musim panas 2017. Beliau telah menjaringkan gol ketiga Anderlecht dalam aksi play-off menentang Lokeren pada 25 Mei 2014 sekali gus memastikan kejuaraan liga ketiga berturut-turut diraih Anderlecht.[10]

Praet melakukan penampilan ke-100nya bersama kelab dalam aksi liga menentang Club Brugge pada 31 Ogos 2014.[11] Pada 16 September, beliau menjaringkan gol ketika menentang Galatasaray dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah sekali gus meletakkan Anderlecht mendahului perlawanan namun kelab Turki itu berjaya menyamakan kedudukan pada masa tambahan.[12] Beliau menjaringkan gol liga pertamanya untuk kempen 2014-15 semasa menentang Club Brugge. Beliau juga menjaringkan gol dalam empat perlawanan Anderlecht berturut-turut iaitu ketika menentang KV Oostende, Waasland Beveren dan KVC Westerlo dalam aksi liga manakala satu jaringan lagi semasa menewaskan SV Zulte Waregem dalam saingan piala.

Pada 14 Januari 2015, Praet telah meraih anugerah Kasut Emas Belgium, iaitu anugerah tahunan yang diberikan kepada pemain terbaik liga untuk tahun sesudah. Beliau mencatatkan kelebihan lima mata (250) menewaskan pencabar terdekat dari pemain Club Brugge, Víctor Vázquez (245).[13][14]

Sampdoria

Pada 24 Ogos 2016, Praet telah berjaya melengkapkan perpindahannya ke Sampdoria melalui nilai perpindahan yang berjumlah 10 juta euro.[15] Selepas dikaitkan dengan perpindahan ke juara Serie A Juventus semasa jendela perpindahan musim panas 2018, Praet sebaliknya melanjutkan kontraknya bersama Sampdoria sehingga tahun 2021.[16]

Praet merupakan antara pemain utama Sampdoria sepanjang tempoh tiga tahunnya di sana, di mana beliau telah melakukan 98 penampilan Serie A dan menjaringkan empat gol. Namun, kelabnya dilihat menduduki tangga pertengahan liga sepanjang tiga musimnya di sana.

Leicester City

Pada 8 Ogos 2019, Praet menyertai kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester City selepas menandatangani kontrak lima tahun melalui perpindahan bernilai 20 juta euro.[17][18] Pada 18 Ogos 2019, beliau melakukan penampilan sulungnya dalam aksi menentang Chelsea.[19] Pada 11 Januari 2020, Praet mencetak jaringan pertamanya untuk Leicester City semasa menentang Southampton.[20] Pada 20 September 2020, beliau menjaringkan gol keduanya sekali gus membantu pasukannya melakar kemenangan 4–2 ke atas Burnley.[21]

Rujukan

WikiPedia: Dennis Praet http://www.dennispraet.be http://www.nieuwsblad.be/cnt/dmf20160824_02437436 http://www.rsca.be/go/nl/article/33478/paars-witte... http://sporza.be/cm/sporza/voetbal/Jupiler_Pro_Lea... http://static.e-kickoff.com/project/publiek/jrinte... http://www.espnfc.com/blog/scouts-notebook/78/post... http://www.goal.com/en-ng/match/galatasaray-vs-and... http://www.national-football-teams.com/v2/player.p... http://www.totalbarca.com/2010/news/arsenal-to-bea... http://www.uefa.com/memberassociations/association...